Pemuda UMNO Mahu Ramai Lagi Doktor Dan Pembantu Perubatan Wanita Tawar Diri Jadi Sukarelawan
 
Kuala Lumpur -- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein berkata keadaan yang semakin kritikal di sempadan Pakistan-Afghanistan memerlukan lebih ramai lagi doktor dan pembantu wanita untuk tampil menawarkan diri menjadi sukarelawan. 
 
Katanya berdasarkan laporan yang diterima daripada sukarelawan yang telah pun bertugas di sana keadaan semakin mendesak hari demi hari di khemah-khemah pelarian menuntut pihak UMNO yang membuka pusat bantuan di sana menyediakan lebih ramai lagi doktor dan pembantu perubatan wanita. 
 
“Saya merayu kepada para doktor dan pembantu perubatan wanita untuk tampil menawarkan diri menjadi sukarelewan. Segala sumbangan perkhidmatan yang ditawarkan amatlah dialu-alukan”, katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di sini, hari ini. 
 
Sebelum itu, beliau juga telah memaklumkan bahawa setakat ini pihak Pemuda telah pun menghantar tiga pasukan misi kemanusiaan. 
 
“Misi sukarelawan pertama telah berlepas ke sana pada 9 November lalu dengan membawa barangan sumbangan sebanyak 20 tan.  
 
“Manakala bagi misi kedua yang melibatkan pihak urusetia pula telah berlepas pada 13 November lalu untuk mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk menempatkan barang-barang sumbangan seperti ubat-ubatan, pakaian dan sebagainya serta untuk menempatkan para sukarelawan”, katanya. 
 
Menurutnya lagi pasukan ketiga pula telah berlepas pada 18 November lalu dan pada 8 – 9 Disember ini nanti pasukan keempat yang melibatkan seramai 20 orang lagi sukarelawan akan ke sana. 
 
“Mereka ini akan ditempatkan di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti. Misi bantuan kemanusian ini sebenarnya berjalan berterusan yang dijangkakan mengambil masa enam bulan. 
 
“Justeru penghantaran bantuan dan sukarelawan akan berjalan mengikut peringkat demi peringkat dan dalam tempoh jangka masa tertentu”, katanya. 
 
Mengenai jumlah besar Tabung Ehsan Pelarian Afghanistan pula, beliau berkata setakat ini sebanyak RM1.445 juta dalam bentuk barangan makanan, pakaian, perubatan dan wang tunai telah berjaya dikumpulkan. 
 
Sementara itu, pihak Exco Pemuda juga merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan seluruh barisan Exco berasa sedih atas kemangkatan baginda.